Apakah yang remaja boleh lakukan ? Sejauh manakah kehebatan seorang remaja bergelar pemuda ? Marcapada ini , jika berbicara mengenai remaja , pasti terlintas di benak fikiran setiap insan, remaja ialah penyumbang utama peningkatan peratusan kebejatan akhlak yang menjadi masalah utama kini . Remaja ialah mat – mat rempit yang menunggang motorsikal secara berbahaya pada lewat malam di jalan raya , perokok , penagih dadah , pembunuh bayi yang tidak berdosa , pelacur di kelab – kelab malam , anak – anak derhaka , pelajar – pelajar yang melawan guru, dan pelbagai lagi .
Mengapa remaja menjadi begini ? Menjadi perosak masa depan keluarga, masyarakat, negara apatah lagi dirinya sendiri . Apakah yang menjadi tunjang kemasalahatan ini ? Remaja yang sepatutnya menjadi pemuda pemudi yang sedang tekun menuntut , bersungguh – sungguh menimba ilmu supaya mereka dapat menjadi pemimpin yang hebat kelak , pengganti pemimpin masa kini . Mereka seharusnya memenuhi dewan – dewan kuliah , kelas – kelas di sekolah, bukannya menjadi sampah yang memenuhi kaki – kaki lima , rumah – rumah kosong yang menjadi sarang maksiat , pusat – pusat serenti atau pusat pemulihan akhlak juga tidak dilupakan menjadi tajuk besar di dada akhbar dengan pelbagai kisah hitam mereka .
Pemuda adalah generasi penerus bangsa, tidak jarang juga kita mendengar
majunya suatu bangsa itu kerana pemudanya dan hancurnya suatu bangsa itu juga
kerana pemuda. Kerana di tangan pemudalah tonggak kepemimpinan berikutnya akan
diwariskan .Apatah lagi di zaman yang akhir ini setelah berakhirnya khalifah
islamiyyah, umat islam berpecah belah, jika kita sebagai generasi penerus Rasulullah tidak membekalkan diri dengan ilmu dan akhlak mulia, maka apa yang akan terjadi kelak , dengan pemudanya yang pentingkan diri sendiri . Ramai yang berpendapat masa muda adalah zaman hanya untuk ke sekolah, bekerja dan berkahwin .Namun begitu , apakah semudah itu dalam memandang dan menjalani hidup tanpa memikirkan apa yang sedang terjadi pada keadaan sekeliling , kebejatan moral, masalah ekonomi, dan pelbagai krisis multidimensial yang melanda bangsa kita, terutama lagi kita sebagai umat islam khususnya generasi penerus Rasulullah akan berdiam diri dan membiakan sahaja masalah ini ? Jangan mengaku bahawa kita ialah generasi rabbani jika kita hanya berdiam diri , menonton, dan menikmati kemewahan tanpa mahu mengambil berat masalah umat .
Islam sangat menghargai semangat membara yang ada pada usia muda . Pemuda adalah tonggak tersebarnya agama tauhid ini kini . Pemuda adalah pejuang – pejuang yang turut serta bersama Rasulullah dalam misi menyebarkan kalimah Lailahailallah Muhammad Rasulullah .
Junjungan kita Nabi Muhammad saw diangkat menjadi Rasul tatkala baginda berumur 40 tahun. Pengikut-pengikut baginda pada generasi pertama kebanyakannya juga daripada kalangan pemuda, bahkan ada yang masih kecil. Usia para pemuda Islam yang dibina pertama kali oleh Rasulullah saw di Darul Arqaam pada tahap permulaan , adalah seperti berikut: yang termuda berumur 8 tahun, iaitu Ali bin Abi Thalib dan Az-Zubair bin Al-Awwam, Thalhah bin Ubaidillah, 11 tahun, Al Arqaam bin Abil Arqaam 12 tahun, Abdullah bin Mazh’un berusia 17 tahun, Ja’far bin Abi Thalib 18 tahun, Qudaamah bin Abi Mazh’un berusia 19 tahun, Said bin Zaid dan Shuhaib Ar Rumi berusia di bawah 20 tahun, ‘Aamir bin Fahirah 23 tahun, Mush’ab bin ‘Umair dan Al Miqdad bin al Aswad berusia 24 tahun, Abdullah bin al Jahsy 25 tahun, Umar bin al Khathab 26 tahun, Abu Ubaidah Ibnuk Jarrah dan ‘Utbah bin Rabi’ah, ‘Amir bin Rabiah, Nu’aim bin Abdillah, ‘ Usman bin Mazh’un, Abu Salamah, Abdurrahman bin Auf di mana kesemuanya sekitar 30 tahun, Ammar bin Yasir di antara 30-40 tahun, Abu Bakar Ash Shiddiq 37 tahun. Hamzah bin Abdul Muththalib 42 tahun dan ‘Ubaidah bin Al Harith yang paling tua diantara mereka iaitu 50 tahun.
Tambahan , novel 1511H [Kombat] karya penulis berbakat , Faisal Tehrani yang telah dianugerahi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 , memaparkan kisah perjuangan 11 orang komander muda yang berumur 18 – 30 an dalam jihad mereka untuk menghalang Amerika yang ingin menawan dua kota suci Islam iaitu Kota Madinah dan Kota Mekah pada tahun 2087 Masihi (1511 Hijrah) . Amerika persis Abrahah yang ingin menghancurkan Kaabah yang dipercayai menjadi asbab utama umat Islam terus wujud di muka bumi ini , kerana umat Islam bersatu apabila menunaikan ibadah haji di Kota Mekah . Jika peperangan Rasulullah dan para sahabat menggunakan kuda – kuda , pedang , tombak , perisai , dan pelbagai alatan manual , berlainan pula dengan peperangan yang dipaparkan novel ini . Peperangan zaman moden yang menggunakan teknologi canggih mengikut peredaran zaman ciptaan umat Islam sangat mengkagumkan .
Watak 11 orang komander muda dalam novel ini sengaja dicipta oleh penulis untuk membakar semangat pembaca untuk punya semangat jihad untuk menegakkan agama tauhid dalam diri terutamanya bagi pemuda . Walaupun umur mereka sangat muda , tetapi itu bukanlah persoalan jika di dalam diri ada iman , taqwa dan cinta yang sangat mendalam kepada Sang Pencipta sedang berkembang mekar , harum mewangi , menjadi perhiasan terindah . Tiga aspek yang patut menjadi tunjang setiap remaja kini . Iman , taqwa dan cinta kepada Sang Khaliq akan membentuk seorang pemuda yang berakhlak mulia , berkeperibadian agung , mempunyai kesedaran yang tinggi akan tanggungjawabnya terhadap agama , bangsa dan negara , serta mempunyai semangat yang kental dan tidak mudah putus asa menghadapi segala rintangan pada usia muda atau seperti istilah kini : modal insan.
Sekiranya pemuda hebat ini dapat dilahirkan , maka tiadalah lagi masalah pembuangan bayi menghiasi ruangan terkini di dada akhbar , tiada lagi kisah pelajar – pelajar melawan guru , tiada lagi kisah anak membuang ibu bapa , tiada lagi kisah jenayah yang kini menjadi ‘halwa telinga’ masyarakat kini .
Sebaliknya , yang bakal tercipta ialah sebuah negara yang harmoni , yang perkasa , yang mementingkan kebajikan rakyat , keamanan sejagat , keadilan , kepatuhan dan ketaatan kepada Allah SWT yang akan dirahmati dan diberkati .
No comments:
Post a Comment