Wednesday, August 5, 2015

Chik

Di saat kematian menghampiri, dia akan mengembara keluar dari perimeter pandangan tuannya. Dia menanggung sebuah kesakitan fatal,fizikal dan mungkin emosi, namun dia tidak mampu membiarkan kesayangannya melihat semua itu. Biar mati menyendiri, dari memilukan hati yang melihat. 

Dia hilang. Tanpa lagi dilihat berlegar di sekitar dapur luar. Tiada lagi menanti di pintu mengiau-ngiau meminta belaian atau makan. Tiada lagi menanti di atas meja rehat, berguling-guling sambil membuka perutnya untuk disentuh. Tiada lagi mata sayunya yang berair memandang sayu ke dalam mataku. Tiada lagi lagaan kepalanya di sisiku meminta kasih sayang dan pelukan. 

Agak lama dia bersama kami kali ini. Terasa lebih lama dari yang lain-lain pernah kami bela. Saiznya kecil tetapi gempal. Perutnya buncit mungkin bercacing. Mulutnya berbau busuk mungkin pencernaan yang buruk. Warnanya hitam berbelang-belang. Ekornya hampir tiada. 

Antara semua, dia yang terbaik. Dia yang paling beradab dan sopan.  Kencingnya bukan merata seperti kucing jantan megah bertelur memancut di mana sahaja. Lagaknya umpama dara pinggitan. Tidak merayau-rayau. Bermusuh bukan kesukaannya. Makanannya hanya satu, keropok kucing.

Namun, keceriaannya berkurangan sejak selepas syawal. Badannya susut. Terasa ringan sekali apabila mendukungnya. Dia nampak sedih ibarat menanggung sebuah derita. Namun kami juga kurang memberi perhatian kerana jarang berada di rumah. Beraya. 

Beberapa hari sebelum dia pergi, titik-titik merah berada di sekitar lantai dapur luar. Setelah dicari, rupanya titik-titik merah itu datang dari mulutnya. Bila diperhati,mulutnya sudah bernanah dan bengkak berdarah. Patutlah dia seringkali masuk ke dalam rumah, mengiau-ngiau kuat seolah-olah hendak mengadu. Jarang sekali dia berminat untuk masuk ke dalam rumah apatah duduk berlama-lama di atas lapik kaki bilik air. 

Digigit rasa kasihan dan sedikit bersalah, dalam diam aku mendoakan agar dia cepat mati dari menanggung siksa. Aku sendiri tidak mampu membayangkan seorang manusia mampu untuk menahan kesakitan sedahsyat itu. Kami cuba memberikannya beberapa titis madu sebagai sesuatu untuk memberinya glukos. Aku tidak pasti sudah berapa lama dia tidak makan bila melihat badannya susut mendadak. 

Esoknya, selepas aku nampak dia menapak pergi, itu kali terakhir aku melihatnya, hidup. 

Dua tiga hari tanpanya menyapa di pintu setiap subuh seolah-olah mengesahkan hipotesis kami. Dia tiada lagi. Dia sudah pergi. Pasti. 

Namun, aku sendiri tertanya-tanya, sejauh mana boleh dia pergi dengan badan selemah itu. 

___________________________________________

Pagi itu aku bangun awal. Awal dari biasa. Usai memasak sarapan, ritualku menonton televisyen sambil makan kuulangi tanpa jemu. 

Udara terasa sejuk. Rumah terasa nyaman. Kubuka tingkap untuk membiar oksigen menerja masuk ke dalam ruang rumah, memberi aku sumber kehidupan. Udara menerobos masuk ke dalam rongga pernafasan melalui kedua lubang hidup yang penuh liang menangkap aroma. 

Satu bau asing menyengat hidung. 

"Hmmmpppphhhh!" kembang kempis hidungku terkejut. 

Dan angin sekali lagi datang menyapa. 

"hmmmmmpppphhh! Bau bangkai!" kataku spontan. 

Dalam hati, aku rasa itu dia. 

'5.8.2015'. 

No comments:

Post a Comment