Sunday, June 16, 2013

Daie si Tanggang

Tribulasi dalam perjuangan.

Sunnatullah dalam perjuangan adalah pengorbanan dan kesulitan.

Tanpa keduanya, bukanlah perjuangan namanya.

Allah menguji setiap hambaNya dengan ujian yang berbeza. Lebih tepat lagi, Allah memberi ujian yang mampu ditanggung dan ditempuhi oleh sang hamba itu tadi.

Cakap memang senang. Tapi, bila ujian itu benar-benar datang di depan pintu rumah, kita sudah gelabah. Kita sudah mahu cepat melatah. Kita terus berfikiran negatif. Menyangka yang tidak-tidak. Berfikir yang bukan-bukan.

Boleh juga jadi selama ini kita selalu degil dengan Allah. Kita bermalas-malasan dalam pengabdian kita kepadaNya. Kita acuh tak acuh dengan soal Allah. Kita buat tak tahu dengan urusan hubungan dengan Allah. Namun, bila datangnya ujian, baru kita terasa seperti dihempap batu. Dilastik batu. Baru sedar akan perangai buruk kita. Baru perasan langit itu tinggi rupanya. Barulah kita berhempas pulas berusaha memohon ampun padaNya dan berdoa siang malam agar Dia mempermudahkan segala urusan kita.

Manusia tetap manusia. Manusia punya kuasa untuk memilih. Manusia juga cepat lupa. Manusia juga degil dan suka berbantah-bantah. Manusia memang suka membuat kerugian. Manusia memang cepat lupa diri. Lupa daratan manupun lautan. Lupa dan lupa. Degil berkali kali degil. Sombong mungkin bakal menjengah. Bongkak pula menyusul.

Habis selesai diuji, kehidupan menjadi setenang air tasik. Buaya sudah lama pergi berhijrah. Berkampung di tasik lain. Manusia kembali alpa. Manusia kembali degil. Manusia kembali hu ha tak ingat Allah.

Untungnya manusia. Untung punyai Tuhan seperti Allah. Untung kerana Allah itu Maha Penyayang. Untung sangat kerana Allah itu suka memaafkan. Untung gila kerana Allah mencintai pula hambaNya yang membuat dosa lalu bertaubat. Dan Allah berkali-kali berkata, Dia tetap akan mengampun dosa hambaNya yang bertaubat hatta dosanya sebesar gunung, seluas lautan. Kerana Allah ingin kita tahu bahawa kasih sayangNya dan pengampunanNya lebih besar dari segalanya.

Idea asal mahu berkata mengenai ujian dalam berdakwah. Ujian dari ibu dan bapa tercinta.

Si anak mula menjejakkan kaki ke menara gading. Berkat doa dan usaha ibu bapanya, si anak mendapat kejayaan. Lalu, si anak terus melangkah maju tanpa menoleh ke belakang. Ibu bapa terus menerus mengiringi anak dengan doa, menyiram anaknya dengan berbaldi-baldi kasih sayang tak bersyarat, menatang anaknya bagai mangkuk yang penuh.

Si anak mahu apa, katanya untuk keperluan belajar, terus ibu bapanya tak senang duduk selagi tidak mendapatkan buat anak tercinta. Takut anaknya susah. Kesiankan anaknya tertinggal akan pelajaran barangkali jika tiada barang tersebut. Risau mereka penuh dengan cinta. Cinta tanpa syarat. Itulah anugerah Tuhan paling bernilai. Itulah yang akan mereka tatang semampunya.

Namun, bila si anak mula berjumpa gerakan dakwah di kampusnya, mula belajar berfikir dengan ajaran agama, mula konon-kononnya tersedar dari lamunan yang panjang, berbekalkan semangat membara di dalam hati, si anak itu terus ingin bergerak aktif dalam dakwahnya. Kerana dia percaya, inilah jalan Rasulullah SAW. Inilah jalannya ke syurga. INILAH JALANNYA !!

Si anak juga seolah-olah si rabun yang mendapat cermin mata. Atau contact lens. Si anak nampak jelas. Dilihatnya ada kelompangan dalam didikan ibu ayahnya. Dilihat bahawa ibu bapanya kurang mendidiknya dengan ajaran agama. Si anak kesal ! Si anak marah !

Mengapakan kalian tidak memahami ? Mengapakah kalian sanggup membelakangkan agama ? Mengapakah kalian tidak mahu memahami agama ?

Si anak sudah berada di puncak kemarahannya. Dihukum ibu bapanya yang kurang memahami. Dihukumnya dengan pelbagai label.

Mungkin si anak lupa, dosa kedua terbesar di dalam agama ialah menderhakai ibu bapa selepas mensyirikkanNya.

Si anak makin marah apabila perjalanan dakwahnya ditentang. Si anak seolah-olah tidak dapat menerima, mengapakah ibu bapanya menghalang dia untuk melakukan perkara yang mulia ? Si anak ego. Dia rasa ibu bapanya salah. Dia malah berani berdendam.

Si anak terus laju dalam gerakan dakwahnya. Dia ingin pergi jauh dari kongkongan ibu bapanya. Dia sudah muak dengan sikap ibu bapanya yang dia rasa tidak memahami kehendak dirinya. Dia malah sekali lagi, berani menyimpan dendam.

Si ibu dan bapa, tidak lain tidak bukan mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran. Supaya di masa depan, anaknya hidup senang. Tidak sesusah mereka dahulu. Apa yang mereka harapkan supaya anaknya serius dan dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran dengan baik. Supaya diharapkan, dengan keputusan yang cemerlanglah anak-anak boleh mendapatkan pekerjaan yang baik, gaji yang baik, kehidupan yang baik.


Wahai sang anak, kalian adalah orang muda. Cara pandangan kita terhadap kehidupan sangat berbeza dengan ibu bapa. Mereka terlebih dahulu hidup dan menghadapi kehidupan di dunia yang penuh kegilaan ini. Mereka sudah di-mindset-kan dengan cara hidup mereka sejak kecil, pengalaman hidup mereka, latar belakang keluarga, apa yang mereka baca, apa yang mereka lihat, apa yang mereka dengar dan segalanya bercampur baur lalu membentuk cara fikir mereka. Cara mereka memandang dunia.

Mungkin ada beberapa peristiwa yang telah menjadikan mereka berfikiran seperti itu. Pasti ada sebab atas setiap pandangan dan tindak tanduk mereka.

Wahai sang anak, kita masih hijau. Namun, itu tidak menjadikan kita hanya perlu patuh dan dengar. Kita sama sekali tidak sepatutnya menindas amanah terbesar ini iatu akal untuk berfikir. Kita seolah-olah si buta yang tiba-tiba boleh melihat. Kita tidak semena-mena boleh membezakan hitam dan putih. Yang selama ini yang kita rasa hanyalah hitam pekat dalam kegelapan, namun dengan rahmatNya, kita sudah boleh melihat cahaya.

Semakin kita mendalami ilmu agama, ilmu hikmah, al-kitab, semakinlah kita nampak akan kebusukan dan kejelekan dosa lampau yang pernah kita lakukan sewaktu kita buta dahulu. Kita juga didorongkan oleh Allah untuk bergerak meninggalkan yang buruk dan mula berbuat yang baik-baik.

Tambahan, suasana di kampus yang indah-indah belaka, dikelilingi teman sebaik malaikat, kita rasa kita sahaja yang bagus.

Dengan mata yang sudah boleh melihat cahaya, apabila kita pulang ke kampung. Kita terkejut. Kita melihat ibu bapa kita juga masih buta. Disebabkan kebutaan itu, mereka ada melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Kita mula naik melenting. Kita mula ingin menghukum. Kita rasa kita sudah bagus dengan ilmu yang sebesar hama, kita sudah pandai melabel ibu bapa sebagai pendosa.

Apakah ini yang kita capai setelah menjadi kader dakwah ? Apakah kecelikkan kita tentang kehidupan telah membutakan kita akan hakikat ibu dan bapa ? Sudah butakah kita akan kasih sayang yang mereka curahkan kepada kita sejak kita hanya sebesar tangan mereka ?

Tidak lain tidak bukan, celakalah si anak. Celakalah si anak dengan kecelikkannya. Celakalah anak dengan agamanya.

_____________________________________________________________

Dakwah vs. Ibu Bapa

Tidak sedikit golongan yang perlu berhadapan dengan ujian dari ibu bapa.

Tidak sedikit juga mereka yang ditentang ibu bapa untuk terlibat dengan dakwah dan tarbiyyah.

Tidak sedikit juga mereka yang telah terhenti perjalanan dakwahnya dek kekangan keluarga.


Realitinya, ini adalah satu isu yang memberi persimpangan dilema yang cukup besar kepada sang anak. Sang anak ingin  melibatkan diri dengan kegiatan dakwah, menyampaikan ajaran Rasulullah SAW, memperbaiki ummah yang semakin kronik, ingin membawa manusia sejagat kepada Allah, juga ingin sama-sama ke syurgaNya.

Namun, langit tidak selamanya cerah. Guruh berdentuman. Hujan renyai-renyai. Terkadang lebat menghujam bumi dengan peluru air. Kilat memetir. Ada juga air yang mengalir deras di pipi, datang dari mata sang anak.

Apa yang perlu kita lakukan ? Apa yang boleh kita buat ? Apa ?


Jalan penyelesaian.

Wahai anak, tidakkah engkau menyakini firmanNya di dalam Surah Muhammad ayat ketujuh ?

Allah tahu niat murnimu. Niat yang tulus dan ikhlas.

Allah ingin mentarbiahmu. Dengan tarbiah direct dariNya sendiri.

Allah akan uji titik kelemahan kita. Agar kita tidak lagi selamanya lemah. Malah kita jadi lebih kuat dan sasa. Kita kuat mental dan yang penting, kita semakin dekat denganNYA.

Manusia membenci apa yang tidak diketahuinya.

Kerna itu boleh terkeluarnya kata 'Tak kenal Maka tak CINTA'.

Kita juga sama. Setelah mengenali dunia tarbiyah dan dakwah dengan lebih dekat, setelah semakin mendekati dunia ini, merasai sedikit pengalaman dari dunia ini, kita juga telah jatuh cinta !

Bukan sekadar jatuh, malah kita ingin terus melemaskan diri dalam lautan tarbiyyah. Eheh.

Kita sudah rasa nikmatnya. Maka, tidak adil untuk kita hukum ibu bapa kita yang belum pernah mengenali dunia ini. Mereka belum pernah rasa manisnya ukkhuwah, mereka belum juga rasa bahagianya pengorbanan.

Maka, apa yang perlu kita lakukan ?

Setiap ibu bapa, lain peelnya. Lain pendapatnya. Lain cara pandangnya. Lain kefahamannya. Lain kisah hidupnya. Lain pengalaman asam gelugor, garam bukit, garam laut dalam hidupnya.

Ibu bapa yang pernah ke universiti lain dengan ibu bapa yang sudah lama bekerja sejak kecil.

Ibu bapa yang ada phD lain dengan ibu bapa yang zaman mudanya penuh dengan kisah-kisah bakti mencari rezeki.

Si anak jualah yang paling memahami kehidupan dan peel ibu bapa mereka sendiri. Mungkin masih banyak yang belum kita fahami dan kenali karakter sebenar mereka. Terkadang kita pun keliru dengan mereka. Namun, kita tinggal dengan mereka sejak kecil. Kitalah yang paling akrab dengan mereka.

Oleh itu, si anak perlu ambil inisiatif untuk memahami ibu bapa sebelum kita mahu ibu bapa fahami kita. Kita dah besar. Kita dah matang. Allah dah beri kita celik dan nampak cahaya. Masakan kita mahu berdalih untuk memahami mereka ?

Cara approach ibu bapa sudah tentu lain dengan cara kita approach mad'u yang rata-rata sebaya atau hanya berbeza setahun dua.

1. Fahami ibu bapa sebelum meminta untuk difahami.
2. SABAR

SABAR. Pendakwah tanpa kit sabar, sukar untuk berjaya. Mereka akan buang masa merungut dan melampiaskan kegeraman dan kemarahan daripada sibuk mencari alternatif lain untuk mendekati mad'u.

Usah berharap ibu bapa kita akan faham dengan sekali penerangan. Usah harapkan mereka terus akan memberi feedback yg positif. Jika ya, alhamdulillah.

Jika belum, itu tandanya memang Allah mahu didik kita. Allah mahu kita jadi dai'e yang lebih kuat dan sasa. Kerana dalam dunia dakwah, pasti akan ada tribulasi yang lebih besar dan menakutkan sedang menunggu kita di hadapan. Maka, Allah mendidik kita untuk jadi kuat dan sabar supaya kita hadapi ujian mendatang dengan senyuman hensem lagi bergaya.

Hakikat ibu bapa, mereka ingin menyenangkan kehidupan kita. Mereka ingin kita seronok dan gumbira. Mereka ingin memenuhi hasrat dan keinginan kita kerana mereka akan down jika tidak dapat memenuhi hasrat kita.

Mungkin kita bukanlah nak sangat pun benda tu, mintak pun acuh tak acuh, tapi, pada mereka, itu adalah satu permintaan yang perlu dipenuhi. Mereka risau kita akan sedih atau susah kalau tak ada benda itu.

Ibu bapa, deep inside, tersimpan kasih sayang yang tidak bertepi kepada kita. Mereka mencintai kita tanpa syarat. Mereka tidak membezakan kita kerana kita cantik atau kacak. Mereka bukannya sayang kita kerana gambar kita lawa atau dapat banyak like. Mereka sayang kita bukan kerana kita ada ramai followers.

Maka, jika mereka berselisih dengan kita sekali dua, maafkanlah mereka. Ingatlah betapa banyaknya kita memecahkan cawan,pinggan,gelas,mangkuk mak kita waktu kecil. Ingatlah kita asyik menangis di waktu kecil guling-guling meronta-ronta di shopping mall sebab nak beli set power rangers, mereka tetap melayani kita dengan penuh sabar dan kasih sayang.

Jika mereka tidak benarkan kita ke program, maka taatilah mereka.

Sebagai balas dendam tak dapat pergi ke program, rebutlah peluang untuk buktikan pada ibu dan ayah bahawa kita seorang anak yang sangat baik dan soleh/solehah. Masaklah untuk mereka, atau bawalah mereka jalan-jalan, atau buat apa sahaja yang menggembirakan hati mereka. Mungkin di situ, akan lembut hati mereka . Atau timbul rasa bersalah, "kesian pulak anak aku ni tak dapat pergi ke program dia.."

Selain itu, 'action speak louder than word'. Love is a verb. Allah juga mahu kita beramal bagi membuktikan iman.

Maka, periksalah diri kita. Adakah ada perubahan pada diri kita semasa di rumah setelah kita sertai tarbiyyah ?

Jika kita masih along yang sama yang suka bangun tidur bila matahari sudah terpacak, masakan ibu dan ayah mahu percaya jika kita katakan dakwah dan tarbiyyah telah mengubah kita. Apatah lagi kalau kita kemukakan kita nak berkahwin. Confirm kena rejek.

Kalau kita masih angah yang sama yang degil nak tolong ibu menguruskan hal-hal kerja rumah, malas nak sidai kain, malas nak basuh pinggan, malas nak kemas meja dapur, malas nak tolong angkat pinggan adik-adik dan ayah, masakan ibu ayah percaya yang tarbiah telah memberi kesan baik pada kita. Apatah lagi kalau nak minta berkahwin, goreng telur pun rentung.

Jika demikian, maka sangat perlu untuk kita periksa terlebih dahulu diri kita. Kadangkala, ibu bapa sudah terbiasa melihat perangai buruk kita sejak kita kecil. Sudah biasa lihat kita makan sambil baring depan tv, sudah biasa tengok kita tak kemas tempat tidur lepas bangun, sudah biasa lihat kita cakap tak sopan dengan mereka, sudah biasa melihat kita pekakkan telinga bila mereka sedang bersyarah. Mereka mengenali kita luar dan dalam. Maka, jika kita yang tidak ambil inisiatif untuk mengubah yang buruk-buruk yang hodoh-hodoh pada perangai dan akhlak kita, masakan mereka mahu percaya pada kita ?

Menjadi daie umpama menjadi doktor. Doktor pakar lebih dipercayai dan bergaji lebih tinggi kerana pengalamannya yang mahal dan sangat profesional. Doktor pakar lebih ramai berjumpa dengan pesakit bermacam-macam penyakit dan peel, lebih matang untuk memberi rawatan yang terbaik sesuai dengan penyakit, dan lebih osem.

Ibu bapa mana yang tidak akan tersenyum sampai ke telinga jika melihat anaknya rajin menolong mereka, rajin berbakti kepada mereka, baik tutur kata, tidak bermasam muka apabila ditegur, pandai masak (ehem), dan segala yang indah-indah pada anak.

Jadikan peribadi bakal jodoh kita yang kita impikan sebagai benchmark untuk kita turut perbaiki dan improve diri. Baru syok. Baru sonang hati mak ayah. Baru senang nak ke program atau pegi halaqah.

Maka, tidakkah anda merasakan bahawa ini adalah satu pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga buat bekalan anda dalam perjalanan yang panjang dan payah ini ? Pengalaman ini juga boleh menjadi satu aset untuk anda kongsikan bersama adek-adek mutarabbi yang juga mempunyai masalah yang sama.

Mungkin pada waktu itu, anda akan tersenyum nampak gigi apabila mendengar musykillah mereka mengenai ibu bapa. Anda sudah terlebih dahulu merasainya. Maka, kisah anda boleh menjadi inspirasi kepada mereka untuk turut menjadi anak soleh/solehah. Sudah dapat satu tong pahala. InsyaAllah.

Tidaklah mampu untuk saya ungkapkan satu persatu masalah dalam kalangan ibu bapa para dai'e di sini. Setiap dari kita punyai masalah yang tersendiri.

Maka, Allah mahu ajar kita untuk berfikir dengan baik. Bertindak dengan matang bagi menangani isu ibu bapa ini.

Ibu bapa juga manusia biasa. Cumanya mereka itu kita wajib untuk muliakan dengan semulia-mulia perbuatan dan perkataan.

Janganlah kita menjadi daie derhaka. Kelak takut-takut kerja dakwah kita terbengkalai dek dosa kita seperti si tanggang.

Usahlah kita menjadi fitnah . Usahlah kita yang memalitkan lumpur pada nama dakwah dan tarbiyyah kerana perangai buruk dan kebusukkan ego kita.

Mak ayah. Ibu bapa. Umi dan walid. Emak dan abah. Daddy dan Mummy. Otosan dan okasan. Atau apa saja. Mereka tetap 2 sosok yang wajib kita muliakan.

Usahlah mengunakkan term dakwah vs ibu bapa. Itu kedengaran terlalu negatif. Seolah-olah ibu bapa watak antagonis.

Kita bukannya punya ibu bapa seperti Nabi Ibrahim, anak si pengukir berhala.

Ibu bapa kita bukannya seperti ibu bapa Mus'ab bin Umair, yang menghalang anaknya memeluk Islam.

Ibu bapa kita masih seislam dengan kita. Masih sama pegangan akidah.

Mungkin ini lebih kepada soal kita. Soal bagaimana kita handle. Dan ingatlah Allah sedang mendidik.

sama-sama kita cuba hadapi musykillah ini dengan baik.

semoga tiada hati yang terluka lagi selepas ini.

semoga mereka juga diberikan hidayah untuk turut serta atas jalan ini.

Merekalah racun, mereka jugalah penawar.

Sabarlah tatkala mereka menjadi racun, dan bersyukurlah apabila mereka sudah menjadi penawar.

Semoga Allah redha.
1629
16/6/2013
prepare untuk forum mendatang!

No comments:

Post a Comment