Thursday, June 13, 2013

Nasihat untuk Akhawat

Saya nak share satu ucapan dari Syeikh Abul A'la al- Maududi, Ketua Jamaah Islamiyyah Pakistan (1941) yang saya kira sangat penting untuk share bersama akhawat sekalian. Ini adalah petikan daripada buku

p/s : buku ini diterbitkan pada tahun 1984, sebab itu bahasanya pelik sikit ya. Saya edit semampu saya shj.

BEBERAPA PERINGATAN UNTUK PARA DAI'E ( TAZKIRAH DU'AH AL-ISLAM)
SYEIKH ABUL A'LA AL-MAUDUDI



Nasihat Untuk Akhawat 

Saya menyampaikan kata-kata saya secara khusus kepada kaum wanita. Ia mempunyai hubungan dengan jama'ah atau mereka yang mengambil berat akan kejayaan risalah ini yang didokong oleh generasi Islamiyyah.

Perkara yang paling utama ialah : 

Mereka wajib melaksanakan semaksima mungkin terhadap tanggungjawab mereka dan memberi perhatian yang cukup serius terhadap hal agama. Dalam hal ini, tidak memadai bagi kaum wanita hanya sekadar memahami dan mengamati Al-Quran. 

Malah mereka berkewajipan mempelajari hadith-hadith dan ilmu feqah menurut masa yang dibenarkan. Mereka tidak seharusnya berpuas hati sekadar mengetahui prinsip-prinsip agama dan tuntutan-tuntutan iman yang pokok sahaja malah disamping menguasai semua itu mereka juga berkewajipan menekankan dan mengetahui hukum-hukum agama yang mempunyai pertalian terus dengan kehidupan peribadi, kekeluargaan dan masyarakat.  

Kerana, kejahilan kaum wanita akan mengakibatkan perkara-perkara yang tidak mematuhi aturan syari'e boleh berlaku dan diterima dalam rumah tangga kaum muslimin. Adat-adat jahilliyah dan segala bentuk tradisi-tradisinya boleh mencelah masuk ke dalam rumah tangga mereka. Akhawat kita berkewajipan memikirkan jalan dan cara bagaimana boleh mengatasi kekurangan-kekurangan ini dalam diri mereka sendiri sebelum menjangkau perkara-perkara lain. 

Di samping itu, pihak jamaah juga perlu berusaha untuk memberikan sepenuh perhatian yang diperlukan seperti mengadakan program-program khusus buat para wanita untuk mendidik mereka secara intensif. Insya Allah. 

Namun demikian, ada sedikit halangan-halangan ke arah pencapaian matlamat-matlamat jamaah sehingga ke hari ini. Kita telah membuat keputusan untuk memberi perhatian yang khusus kepada kaum wanita. Antaranya adalah dengan menggalakkan penglibatan mereka bersama kaum lelaki di dalam kursus-kursus yang akan dianjurkan. Ini adalah antara salah satu alternatif untuk mendidik mereka. 

Kalaulah ianya diadakan, maka perlulah kaum wanita untuk menjaga sempadan-sempadan hijab dengan sempurna ( penjagaan aurat dipelihara dengan sempurna). Para akhawat pula mestilah perlu memanfaatkan semua peluang yang ada diberikan untuk mereka menyertai program-program tarbiyyah seperti itu. 

Perkara kedua yang perlu diusahakan oleh setiap akhawat ialah mencorakkan diri, kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat, akhlak dan kehidupan umum para wanita sesuai dengan ilmu-ilmu agama yang telah mereka perolehi melalui pembelajaran-pembelajaran al-Quran ,al- Hadith ,ilmu Feqah, dan kursus-kursus pendidikan yang lain. 

Di antara kewajipan yang mesti diusahakan oleh setiap wanita Islam ialah memperkuatkan akhlak mereka. Akhlak mereka perlu diperkuatkan (dimantapkan) sehingga mereka mencapai satu tahap di mana apabila mereka telah mempercayai kebenaran di dalam sesuatu perkara, mereka akan terus berpegang kukuh dan istiqamah dengannya tanpa berganjak walaupun seinci. 

Begitulah juga apabila mereka mengetahui tentang perkara-perkara palsu dan tidak benar di dalam suatu perkara, mereka akan terus menolaknya tanpa ragu-ragu. Mereka tidak akan sama sekali cenderung kepada kepalsuan itu walau sedikit meskipun penolakkan itu akan mendapat tentangan hebat dan ejekan daripada keluarganya sendiri. Dalam hal ini, ibu bapa dan suami mereka berhak menerima penghormatan mengikut kadar darjat masing-masing. 

Walaubagaimanapun, semua hak mereka ini tidak ada nilainya apabila dibandingkan dengan kewajipan kaum wanita terhadap ALLAH dan Rasulullah S.A.W. Wanita Islam mestilah menolak segala bentuk ketaatan kepada sesiapa jua yang mahu membawa mereka kepada penderhakaan terhadap ALLAH dan RasulNYA. 

Mereka mestilah sanggup menanggung sebarang kemungkinan yang dihadapi di dalam perjalanan ini dengan kesusahan dan kepayahan. Semua ini diserahkan sebulat-bulat tawakal kepada ALLAH SWT dengan penuh harapan menunggu pembalasan di akhirat nanti. 

DEMI ALLAH ! Tahap apa pun pencapaian, perlaksanaan dan istiqamah serta keadilan hati dalam menerima kebenaran, ianya tetap akan memberi kesan baik terhadap rumah tangga dan anak-anaknya. Seterusnya berpeluang pula untuk memperbaiki rumah tangga dalam realiti masyarakat yang semakin rosak. 

Demikianlah jua sebaliknya. Sejauh mana seorang wanita Islam rela dan menurut sahaja tuntutan-tuntutan dan aturan daripada orang dan pemerintah yang zalim supaya menyesuaikan diri dengan kerja-kerja yang bertentangan dengan syariah ALLAH, maka sejauh itulah jua diharamkan keberkatan Islam dalam kehidupannya. Dia akan menjadi contoh yang buruk terhadap rumah tangganya, anak-anak dan masyarakat kerana kelemahan iman dan akhlaknya yang rosak. 

Tugas ketiga, kewajipan wanita Islam yang terlibat dalam Dakwah dan Islam (Dakwah dan Tarbiyyah), ialah mereka perlu menekankan dan mengutamakan usaha untuk memperbaiki keluarganya, sanak saudara dan sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan persaudaraan lebih dari memperbaiki orang lain. 

ALLAH mengurniakan zuriat kepada akhawat. Kurniaan ini umpama penyerahan kertas-kertas peperiksaan dari ALLAH. Jika mereka tidak mendapat markah yang secukupnya untuk satu kertas, maka mereka tidak memperoleh kejayaan dalam kertas-kertas peperiksaan yang lain. Oleh itu, anak lelaki dan anak perempuan merekalah yang terlebih dahulu mendapat keutamaan untuk dididik dan diberi perhatian. Anak-anak inilah yang sangat dituntut supaya ibu-ibu membina mereka dengan pendidikan dan akhlak agama. 

Di antara tugas para akhawat yang sudah berkahwin ialah berusaha mengarahkan suami mereka ke jalan yang benar. Kalau suami telah memilih jalan ini, maka akhawat mestilah membantu mereka. Tugas anak gadis Muslim pula ialah menjaga akhlak dan maruahnya dan seterusnya ialah menyampaikan perkataan-perkataan yang benar ini kepada kedua ibu-bapanya. Dan dia seharusnya berusaha untuk memberikan kepada kedua mereka bahan bacaan yang baik berhubung dengan dakwah. Tugas akhir wanita muslim ialah mengajarkan ilmu-ilmu agama kepada wanita-wanita di sekelilingnya pada waktu-waktu tertentu selepas menunaikan kewajipan di dalam rumahtangga dengan baik.

 Ia berkewajipan mengajarkan kepada anak-anak Muslim akan prinsip-prinsip asas Islam dan pengajaran-pengajaran pokoknya. Mengajarkan agama kepada wanita-wanita yang jahil tentang agamanya. Menyebarkan bahan-bahan bacaan Islam kepada wanita-wanita yang terpelajar. Mengadakan pertemuan-pertemuan dan menyampaikan ceramah agama kepada wanita lain. Membacakan kitab-kitab yang baik jika tidak mampu berpidato. Ringkasnya, wanita Muslim berkewajipan melaksanakan semua jalan yang bersih untuk membanteras kejahilan dan memerangi amalan jahiliah dalam kalangan kaumnya. 

Masih ada lagi satu tugasan khusus yang penting bagi akhawat daie yang berilmu dalam suasana hari ini iaitu bergerak menentang arus kesesatan, keruntuhan fikiran dan kerosakan akhlak yang didokong oleh wanita-wanita Pakistan yang telah dibaratkan. Kita semua sedia maklum dengan kesesatan mereka. Mereka pula akan menyesatkan orang lain. Pihak lain pula akan mempergunakan mereka untuk tujuan-tujuan jahat yang merosakkan. Mereka akan menggunakan segala alat-alat dan kemudahan-kemudahan jentera pemerintah untuk menyebarkan kerosakkan. Kerana itu, janganlah para akhawat yang berilmu dan terpelajar mengabaikan tugas ini lalu menyerahkan sepenuhnya kepada kaum lelaki sahaja. Seluruh wanita Muslim Pakistan perlulah menyedari akan tanggungjawab ini dan mengetahui akibat kerosakkan yang lahir dari aliran ini. 

Golongan yang mempunyai kepentingan diri akan melaungkan kata yang menyesatkan kaum wanita dengan mengatakan : 

"Sesungguhnya manusia Muslim hari ini mahu memperhambakan, memperkosa dan menguasai kaum wanita. Mereka melarang kaum wanita keluar rumah. Mereka menghalangi wanita dari menikmati kemerdekaan dan kebebasan dalam kehidupan dunia." 

Alhamdulillah masih ada wanita Muslim yang masih berpegang teguh dengan sifat-sifat kebaikkan, kemuliaan, taqwa dan fadhilat. Namun demikian banyak juga kumpulan-kumpulan wanita Pakistan yang telah dibaratkan. Golongan ini berilmu, cerdik, luas pengetahuan, mempunyai kemampuan berpidato dan menulis. Akhawat bertanggungjawab untuk tampil ke hadapan, mencabar dan menentang mereka. Menghentikan dan menghancurkan segala bentuk fitnah yang mereka sebarkan. 

Hadapilah mereka yang telah diserapi dengan budaya Barat. Laungkanlah kepada mereka bahawa wanita muslimah sesekali tidak akan melampaui batas-batas yang telah ALLAH tetapkan. Wanita muslimah memandang benci dan jijik terhadap kemajuan yang melanggar hukum ALLAH. Wanita muslimah tidak akan melanggar sempadan-sempadan yang telah ALLAH tetapkan. Malah lebih jauh dari itu, akhawat mestilah menyusun diri mereka dan memastikan mereka mengekalkan diri mereka dalam aturan Islam. Akhawat mestilah memelihara dan berpegang dengan fadhilat-fadhilat dan amal-amal kesopanan. Setiap tuntutan ke atas sesuatu perkara walau di anggap mustahil mestilah dilaksanakan kecuali apabila ia melanggar hukum-hukum Allah. Yang demikian itu adalah supaya dapat dikenali dan dibezakan dari orang-orang yang sesat lagi menyesatkan. 


Sesungguhnya mutiara kata dari Syeikh al-Maududi khas buat para akhawat ini benar-benar telah menyedarkan kita bahawa sememangnya kita mempunyai banyak tanggungjawab. Sebagai wanita Islam, kita seharusnya berusaha keras untuk memahami Islam dan menghayati agama suci ini dengan mempelajari Islam itu sendiri . Seterusnya, apabila kita sudah memahami, menjadi satu kewajipan pula untuk mengajarkannya kepada wanita Islam lain agar mereka juga turut memahami Islam dengan baik.

Akhawat, usahlah mengalah dengan kefuturan. Usah bermalas-malas dengan hiburan. Usah lembik dengan godaan para artis. Usah memberi pelbagai alasan lagi. Ayuhlah kita sama-sama berusaha semampu kita untuk mendidik diri dan mendidik orang lain. Kelak, kitalah bakal mencorakkan anak-anak kita, generasi Islam yang akan datang.

Jika kita tidak mewarnai anak-anak dengan warna-warna Islam,
maka kita sedang mencontengnya dengan arang-arang Jahiliyyah- Afiq Sazlan. 

Semoga Allah Redha. 

No comments:

Post a Comment