Wednesday, October 17, 2012

Cerpen : Cinta perlukan bukti

"Cinta perlukan bukti,Farhah . Allah mahu bukti sejauh mana kita betul-betul serius di atas jalan ini"

Aku mengangguk perlahan . Air mata berguguran lagi . Entah kali yang ke berapa . Masih berkisar mengenai persoalan yang sama.

Entah mengapa diri ini terlalu lemah keseorangan . Mudah leka dengan masa lapang. Lalai dalam kesunyian .

Ayat itu sangat mengoncangkan hatiku. Manakan tidak, sedang hati galau dan tidak keruan, kucapai kalam suci itu dari rak buku di hadapanku, kubuka secara random , ayat itu yang menyapa retina mataku.

Surah Muhammad , ayat 31 . 
"Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar berjihad dan bersabar di antara kamu , dan Kami akan uji perihal kamu."

Ayat ini seolah-olah menyihirku . Aku terkedu. Tergamam.

Kemudian mataku meneruskan pembacaan ayat-ayat seterusnya .

Ayat 33
"Wahai orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul, dan jangan kamu merosakkan segala amalan kamu."

Ayat 35
"Maka janganlah kamu lemah dan mengajak damai,kerana kamulah yang paling unggul,dan Allah pun bersama kamu, dan Dia tidak akan mengurangkan segala amal kamu."

Ayat 36
"Sesungguhnya kehidupan di dunia itu hanyalah permainan dan senda gurau. Jika kamu beriman dan bertaqwa, Allah akan memberi pahala kepadamu, dan Dia tidak akan meminta harta kamu."

Aku tersenyum kelat. Aku menghela nafas dalam-dalam, cuba merasionalkan diri. Sungguh tersentuh dengan ayat pujukan Ilahi. Inilah antara sebab mengapa aku sangat menyukai surah Muhammad ini . Mungkin rindukan Rasulullah barangkali .

"Sedang kepandaian memerlukan peperiksaan besar untuk diuji , inikan pula soal keimanan. Soal syurga. Soal Islam. Soal kesetiaan kepada Ilahi." aku masih bermonolog .

"Jika engkau benar serius di atas jalan ini,maka Allah terlebih dahulu mahukan bukti sejauh mana engkau bersungguh-sungguh mengislah diri. Melaksanakan tarbiah kendiri dengan penuh disiplin. Berusaha keras untuk tidak futur."

Aku terdiam. Sungguh terasa seperti berhadapan dengan kaunselor yang
bersemangat .

"Ya. Memang engkau masih hijau di atas jalan ini. Namun, apakah engkau mahu mengalah dan memberi alasan bahawa engkau masih baru ? Lalu berniat untuk berputus asa . Give up macam tu je ? Oh sungguh lemah semangatmu, wahai diriku. Jangan memalukan aku, wahai diriku."

Aku tersengih. Hatiku semakin terubat dengan kata-kata kritikan diriku yang satu lagi. Ya , aku memahami. Perjalanan ini tiada hujungnya. Penuh dengan duri dan kaca yang menyakitkan dan melukakan. Tapi yang pasti, matlamatnya jelas ! Redha Allah , syurgaNya yang agung !

"Usah memberi alasan yang remeh . Orang lain sibuk terkejar-kejar pahala dan syahid . Mahu shortcut masuk ke syurga . Orang lain sibuk berhempas pulas mengejar syurga . Semuanya di atas gerabak yang sama. Mengapa engkau mahu memberi alasan ? Tidak mahu shortcut masuk syurgakah ? Itu pun kalau layak..."

Gulp. Sinis. Ouch.

"Satu lagi.Jangan menyia-nyiakan kefahaman yang Allah anugerahkan kepadamu. Jangan hanya tahu mengeluarkan idea, post ke twitter, tampal di dinding facebook, tapi kontang dari segi praktiknya. Jangan biar kata-kata memakan diri. Jangan mencelakakan diri . Ingat itu."

Aku mengangguk-nganguk perlahan . Mengapa terasa bahang pula ni ? Oh, terlupa nak tanggalkan telekung kagi rupanya. Patutlah panas semacam. Usai mengemas pakaian solat,terus kucapai komputer ribaku lalu mencoretkan cerpen ini .

21.13. 17.10.2012. Rabu .
Semoga Allah Redha . 

No comments:

Post a Comment