Saturday, June 9, 2012

COPIED SAIFUL ISLAM: Sains Sosial Untuk Memenangkan Islam?

“Antara manusia, mekanisma dan mesin, serta matlamat, manakah antara ketiga-tiga ini faktor penentu kecemerlangan?”, saya bertanya.
“Matlamat!”, jawab salah seorang hadirin.
Ia jawapan standard bagi mereka yang berpemikiran idealistik.
“Siapa yang menentukan matlamat?”, saya menyambung soalan.
“Manusia”, jawab mereka.
Benar sekali. Berubah manusia, berubahlah matlamat. Maka untuk mengekalkan matlamat, jangan lengah dalam membentuk manusianya.
“Tiada siapakah yang menganggap mekanisma dan mesin sebagai faktor kecemerlangan?”, saya mahu menyelesaikan persoalan berbaki.
Diam.
Senyum.
Menggelengkan kepala belaka…
Semua orang mengaku bahawa manusia adalah ‘harta’ paling berharga dan paling utama dalam menentukan kejayaan setiap tahap kehidupan. Kecemerlangan rumahtangga, syarikat perniagaan, sebuah gerakan Islam dan ummah keseluruhannya. Tetapi sejauh mana kita mengambil berat faktor manusia? Sejauh mana kita mementingkan manusia dalam pembangunan hidup ini?
Modal insan?
Berapa banyak agenda kita membangunkan modal insan, berbanding modal kita menjahanamkan setiap insan yang ada hari ini?
JIKA BENAR MANUSIA PENTING
Jika kita bersungguh-sungguh berpakat di atas suatu persetujuan bahawa manusia adalah yang paling utama, bagaimanakah sikap kita terhadap manusia? Usah dulu ke peringkat yang lebih rumit, cukup sekadar dinilai dalam kehidupan seharian.
Andai anak pecahkan pasu bunga, lupakah kita pada kelakuan ibu yang membelasah anaknya seolah-olah si anak andai binasa, boleh dibeli di mana-mana?
Jika mat rempit menjunam di atas jalan, diperiksanya motor terlebih dahulu atau kakinya yang sudah separuh tergantung?
rempit.jpg
Hakikatnya, kita tidaklah begitu menghargai manusia.
Bukan sahaja anak vs. pasu bunga dan motor mat rempit vs. kakinya sendiri, tetapi dalam konteks yang lebih besar, sejauh mana prihatin kita kepada sains sosial (sains kemanusiaan)?
Sejauh mana peduli kita kepada bidang sejarah, sains politik, sosiologi, antropologi, psikologi dan komunikasi? Malah pendidikan dan ekonomi?
SAINS SOSIAL UNTUK UMMAH SERTA GERAKAN DAKWAH DAN ISLAH
Apa perlunya ummah kepada sains sosial?
Tidak cukupkah pada sentuhan tradisi keilmuan Islam yang kaya raya itu untuk menjawab persoalan-persoalan memaknakan slogan “ISLAM PENYELESAIAN”?
Jangan pergi kepada ummah yang termanya terlalu dramatik itu. Perlu dijawab terlebih dahulu, perlukah sebuah gerakan Islam kepada sains sosial?
Soalan ini sering menghantui fikiran saya.
Sebagai seorang pelajar yang muhajir dari Syariah kepada Sains Sosial, soalan sebegini sering mencabut ketenteraman diri saya. Tentu sahaja setiap orang akan menganggap bidang yang dipelajarinya sebagai penting belaka untuk ummah ini. Namun saya runsing memikirkan tentang kedudukan sains sosial bukanlah untuk bertanding tentang bidang siapa yang lebih penting dari bidang yang lain. Tetapi saya memikirkan bagaimanakah kesan sains sosial meminggirkan gerakan Islam, dan bagaimanakah kesan gerakan Islam meminggirkan sains sosial?
Walaupun gerakan Islam mendabik dada bahawa imej ‘parti kampung’nya telah lama ditinggalkan berikutan penglibatan golongan profesional yang cukup memberangsangkan, malah dikatakan berupaya untuk kembali ke imej asal dengan nama-nama tokoh penggerak seperti Zulkifli Muhammad dan Burhanuddin al-Helmi yang juga dikategorikan sebagai golongan profesional, hakikatnya kenyataan ini mesti lebih dihalusi. Biar pun keterlibatan golongan profesional di dalam politik Islam semakin memberangsangkan, namun golongan profesional itu kebanyakannya adalah mereka yang datang dari disiplin hard science.
Gerakan Islam mengalami lambakan jurutera.
Gerakan Islam mengalami lambakan doktor.
Ia suatu perkembangan yang memberangsangkan. Tetapi ke mana perginya golongan profesional dari soft science? Jika soft scientist mahu dianggap profesional?
Di mana ahli sejarah dalam gerakan Islam?
Di mana political scientists?
Ke mana sociologists, anthropologistspsychologists, economists malah educationists dalam arus perdana gerakan Islam?
cover05a02.gif
ASAL USUL KETERLIBATAN
Mengajak seorang pelajar kejuruteraan dan kedoktoran kepada kegiatan dakwah dan mungkin juga siasah, adalah lebih ketara dan berhasil berbanding dengan usaha mengajak pelajar sejarah, sosiologi dan sains politik kepada kegiatan seperti ini.
Ini adalah kerana pelajar kejuruteraan dan perubatan akan dengan cepat melihat gerakan dakwah itu sebagai pelengkap kepada ‘kekurangan’ dirinya sebagai pelajar ‘bukan agama’. Mereka akan melihat peluang terlibat di dalam usrah dan dakwah sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan seterusnya meletakkan diri mereka di atas landasan yang betul dalam beragama.
Tetapi mereka tidak akan mencabar content Tarbiyah apatah lagi retorik dakwah dan siasah!
“Saya tersinggung apabila ustaz menganggap pelajar kejuruteraan tidak cukup cerdik untuk mengkritik dakwah!”, keluh seorang teman.
Maafkan saya.
Saya bukan menyentuh soal cerdik atau kurang cerdik. Keupayaan mengkritik ini tidak bersangkut kepada cerdik atau tidaknya seorang pelajar, tetapi ia berkaitan dengan nature pembelajarannya terutamanya jika pelajar itu mengikat dirinya hanya kepada silibus dan hidupnya hanya untuk lulus periksa.
Teori-teori yang dipelajari di dalam pure science, tidak menuju secara langsung kepada menghasilkancontradiction terhadap usrah, dakwah dan siasah yang ada di sekelilingnya.
Ketika seorang pelajar kejuruteraan kimia sedang belajar tentang ChE process dan berurusan denganGibbs phase rule dan bezanya dengan Degrees-of-freedom analysis, amat sulit untuk dirinya berfikir pada masa yang sama tentang hubungkait subjek ini dengan dakwah yang disertainya. Kecuali hingga anda mengorek falsafah di sebalik aplikasi teori-teori ini dan pasti you have to be exteremely smart to do so!
Begitu juga dengan pelajar perubatan. Semasa dirinya meneroka molecular dan cellular systems, the integumentary system dan the skeletal system, adalah terlalu jauh untuk dirinya berfikir tentang usrah dan dakwah yang disertainya kecuali di sekitar persoalan “betapa agungnya ciptaan Allah hasil kajianku terhadap tubuh manusia ini”. Namun bagaimanakah kesedaran itu boleh membawa dirinya kepada mengkaji mekanisma rasional perbuatan manusia dan implikasinya kepada kehidupan… you have to be extremely smart to do so!
Maka tarbiyah dan dakwah lebih disambut secara subur oleh pelajar di bidang hard science tanpa ada sebarang konflik dengan bidang pengajiannya. Malah gerakan dakwah juga berebut-rebut mahu menerima keahlian mereka kerana ia meningkatkan imej kumpulan masing-masing.
Kumpulan saya ada ramai doktor.
Kumpulan saya ada ramai jurutera.
SAINS SOSIAL MENCETUSKAN KONFLIK
Tolaklah ke tepi pelajar-pelajar dari kategori yang belajar sekadar mahu lulus periksa. Perbincangan saya ini tidak ada kena mengena dengan pelajar atau sesiapa yang berkata “entahlah, aku pun tak tahu kenapa aku ambil bidang ini!” Golongan seperti ini mungkin lulus cemerlang di dalam bidang sains politik, namun tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di sekitarnya dan menjadi mangsa pertama percaturan politik aplikasi biar pun dia itu wira politik teori di atas sekeping ijazah.
Namun, apa yang menjadi fokus saya ialah kepada pelajar yang sentiasa peka, belajar dan memikirkan tentang pelajarannya, serta apa hubung kait pelajarannya itu dengan kehidupannya di luar bilik kuliah dan perpustakaan.
Seorang pelajar sejarah, akan belajar tentang sejarah kemunculan idea-idea yang ada hari ini.
Sebelum bercakap tentang ancaman sekularisma kepada ummah, mereka telah terlebih dahulu perlu belajar tentang sekularisma era George Holyoake malah dikorek hingga ke akar umbinya seawal Ibn Rushd dan Averroism school of philosophy.
“Sekularisma ialah memisahkan agama dari politik. Sekularisma adalah jalan terpantas untuk seseorang itu menuju Riddah!”, kata seorang naqib di dalam usrahnya.
Idea-idea sebegini akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah dan sains politik rasa terganggu. Mereka akan segera merasakan bahawa kefahaman tentang sekularisma yang sedemikian rupa adalah terlalu dangkal dan tidak keterlaluan boleh dikatakan sebagai rubbish! Apakah content Tarbiyah kumpulan dakwah ini? Apakah mereka faham dengan apa yang mereka perkatakan? Soalan-soalan sebegini datang bertubi-tubi on daily basis kepada seorang pelajar sains sosial.
nurcholis_madjid.jpg
Sebelum bercakap tentang ancaman Islam Liberal, atau mengkritik Nurcholis Majid (Cak Nur), pelajar sains sosial telah terlebih dahulu dituntut agar mendefiniskan liberalism dalam konteks yang betul. Mereka telah terlebih dahulu perlu mengetahui pandangan orang-orang seperti Adam Smith, dan mengenal pasti perbezaan trend yang wujud di bawah slogan liberalism seperti Manchester Liberalism,Cultural LiberalismPolitical LiberalismSosial or Neo Liberalism dan sebagainya.
“Liberalisma ialah usaha untuk membebaskan manusia dari ikatan kepada agama. Ia membuka ruang kepada manusia untuk bebas memilih sama ada mahu berdosa atau berpahala dan kita tidak berhak berkata apa-apa. Antum mahu negara kita jadi seperti ini?”, tanya seorang naqib kepada ahli usrahnya.
Pandangan penuh emosi dan bernada tinggi ini, akan segera menyebabkan pelajar sains sosial di bidang sejarah, sains politik dan ekonomi akan berasa terganggu.
“Naqib aku ni faham ke apa benda yang dia cakapkan ini?”, rungut hati seorang pelajar sains sosial yang juga dididik agar sami’na wa atha’na atas nama amal jama’ie.
Itu di peringkat teori dan kefahaman.
Dalam ertikata yang lain, saya cuba untuk mengajak kita semua melihat di mana rasionalnya pelajar sains sosial enggan mendekati kumpulan dakwah terutamanya yang berpegang dengan agendaIslamism. Mereka akan menganggap kumpulan ini hanya beretorik dan tidak mempunyai apa-apa kefahaman yang bersifat substantial kerana untuk berjuang menentang kebejatan sekularisma, mereka hanya berpada dengan definisi sekularisma yang dihafal dari mulut amir atau pemimpin mereka yang mursyid.
Cakap kosong semata.
APLIKASI SAINS SOSIAL
Itu di peringkat teori dan kefahaman.
Apabila persoalan ini dibawa ke peringkat mengaplikasikan teori sains sosial, konflik di antara gerakan dakwah dan islah dengan sains sosial akan jadi lebih meruncing.
Bagi sebuah gerakan yang berhasrat untuk mengubah masyarakat dan sistemnya, mereka perlu mempunyai kaedah yang jelas dan tepat dalam menganalisa masyarakat. Ahli sains sosial seperti sociologist dan anthropologist akan menganalisa masyarakat dengan disiplin dan metodologi yang boleh diukur dan berasas.
Misalnya, untuk sebuah gerakan Islam membuat keputusan tentang pendiriannya berhubung dengan trend yang wujud di dalam masyarakat terhadap isu-isu yang diperjuangkannya, mereka perlu melakukan kaji selidik. Survey sebegini mesti dilakukan dengan cara yang betul, memenuhi tuntutan kualitatif dan kuantitatif terhadap sampel yang terbabit supaya mereka mendapat keputusan yang tepat tentang gambaran sebenar kefahaman serta reaksi masyarakat kepada apa yang mereka perjuangkan.
Tetapi, sejauh manakah gerakan Islam memperlengkapkan dirinya dengan hal ini?
Apakah setiap kali gerakan Islam di mana-mana bahagian dunia kalah di dalam pilihanraya maka ia mesti berpunca daripada penyelewengan pemerintah dalam mengendalikan proses pengundian semata-mata?
32441114.gif
Bagaimana pula kemungkinan perjuangan yang tidak bersandarkan asas? Memperjuangkan satu isu tanpa mempedulikan sejauh mana kefahaman masyarakat tentang isu tersebut, sejauh mana mereka memahaminya, sejauh mana relevannya isu yang dibawa… dan semua ini gagal dijawab kerana gerakan Islam tidak menyelidiknya?
Malah jika ada dakwaan bahawa penyelidikan dibuat, apakah asas penyeldikan berkenaan? Mampukah ia berdiri teguh jika ditimbang dengan neraca sains? Atau hanya sangkaan semata-mata?
KERISAUAN YANG BERASAS
Inilah yang mencetuskan kerisauan kepada saya.
Isu ini bukan sahaja isu gerakan Islam, malah isu masyarakat kita secara keseluruhannya. Kita menganggap manusia itu mudah kerana setiap kita ini juga adalah manusia. Kita lupa bahawa manusialah yang menentukan matlamat, manusialah yang menghasilkan mesin dan manusialah yang menghasil dan menggunakan teknologi. Sebelum matlamat dicabar, mesin dianalisa, teknologi dinilai dari segi etika, kita lupa kepada keperluan mendalami prima causa dan pemula segalanya… manusia.
PENYELESAIAN
Tidak sedikit pelajar kejuruteraan dan perubatan malah jurutera dan doktor sendiri yang dinamik dalam fikrah dan gerak kerjanya. Tetapi mereka berupaya untuk menjadi begitu apabila mereka keluar dari sekadar memperhambakan diri kepada silibus dan profesyen masing-masing. Mereka tidak hanya membaca buku teks kejuruteraan untuk profesyen dan buku teks Hasan al-Banna dan Mustafa Masyhur untuk dakwahnya, sebaliknya mereka meluaskan bacaan dan kefahaman dengan mengambil buku-buku Current Affairs, Political Science, Falsafah, Sejarah dan menganggap semua itu sebagai sebahagian dari keperluan Tarbiyah dan BEKALAN UNTUK MEMENANGKAN ISLAM.
Tidak sedikit pelajar Syariah dan ustaz ustazah yang dinamik, tetapi mereka menjadi dinamik hanya selepas mereka berjaya memecahkan tembok sangkaan bahawa “ilmu itu ialah apa yang Allah cakap, apa yang Nabi cakap: maka jika sudah faham Tafsir dan faham Hadith, saya telah faham segala-galanya”.
Saya setengah mati mahu keluar dari tembok itu.
Sesungguhnya jalan untuk memenangkan Islam itu tidak semudah yang disangka…
Sejauh mana kita semua bersedia KE ARAH MEMENANGKAN ISLAM?
Abu Saif @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment